Nik Abduh Dakwa Media "Spin" Kenyataannya Tentang Demonstrasi 29 Ogos Ini

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
ALOR SETAR – Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendakwa bahawa segelintir media pro-pembangkang telah memutar belit kenyataannya konon beliau telah menghasut orang ramai supaya menyertai demonstrasi jalanan bagi melumpuhkan kerajaan pada 29 Ogos ini.

Nik Mohamad Abduh menegaskan, beliau tidak pernah mengarahkan ahli Pemuda PAS di seluruh negara menyertai perhimpunan haram tersebut seperti yang dilaporkan media berkenaan.

“Beberapa media memetik kenyataan saya secara salah mengenai Bersih 4.0 bahawa konon saya menggalakkan ahli dan Pemuda PAS untuk menyertai perhimpunan itu.

“Kenyataan salah itu pastinya bertentangan dengan kenyataan PAS sebelum ini, sedangkan saya secara jelas menekankan bahawa sikap Pemuda PAS adalah selari dengan pendirian asal parti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nik Mohamad Abduh berkata, Pemuda PAS mendukung matlamat dan aspirasi PAS Pusat yang menuntut hak demokrasi dan pilihan raya yang bersih tetapi tidak pernah mengarahkan ahlinya menyertai Bersih 4.0.

Katanya, PAS akan menyatakan sikap secara rasmi mengenai Bersih 4.0 dalam tempoh terdekat.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merancang mengadakan demonstrasi jalanan secara besar-besaran seperti yang berlaku di benua Arab untuk menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hujung bulan ini.  -Kedahnews.com