Nora Danish Dedah Impian Yang Lebih Besar Dari Sekadar Populariti

Dia kini menjadi pelakon yang sering beraksi di layar perak dengan pelbagai genre. Malah populariti menjadi miliknya kini.

Bagaimanapun, pelakon jelita, Nora Danish masih ada impian besar yang ingin digapainya dan belum menjadi kenyataan.

Tanpa berselindug, Nora mengakui dia berharap akan merangkul satu anugerah suatu hari nanti.

Katanya, meskipun sering diasak dengan pertanyaan bila akan menamatkan zaman solonya, dia lebih dulu dambakan satu anugerah berjaya dimiliki.

“Saya sebenarnya menyimpan impian untuk meraih penghargaan atas bakat saya, sekurang-kurangnya satu anugerah pelakon wanita terbaik.

“Tapi saya tidak meletakkan sasaran anugerah yang banyak untuk dimenangi tetapi cukup hanya satu. Itu pun saya sudah amat bersyukur,” katanya.

Ibu tunggal seorang cahaya mata ini berkata, mungkin ada segelintir selebriti sudah berasa puas hasil kerja keras mereka berbaloi apabila mampu membeli rumah dan kereta tetapi tidak bagi dirinya. Dia memang mahukan anugerah.

“Saya melihat anugerah sebagai satu penghargaan atas usaha dan kegigihan dicurahkan sebagai anak seni. Namun semuanya bergantung kepada rezeki,” katanya.

Kata Nora, dia hingga kini masih tertanya-tanya di mana lagi kekurangan dalam lakonan dipersembahkan.

“Sudah banyak filem saya bintangi dan pelbagai genre serta saya tidak terikat dengan satu-satu watak. Saya pernah menjadi wanita lasak, gadis kampung dan komedi ringan pun saya sudah cuba.

“Namun mungkin memang belum rezeki saya menang anugerah dan harus bekerja keras lagi. Bagaimanapun, impian saya tetap ingin pastikan menang satu anugerah,” katanya.

Menurut Nora, barangkali buat masa ini mutu lakonannya masih belum mencapai tahap memuaskan hati banyak orang walaupun dia sudah cuba membuat sebaik mungkin.

Nora yang juga duta produk Safi Rania Gold, Mamee Chef dan Uniqlo, baru selesai penggambaran filem terbaru Sayu Yang Shukur arahan Aaron Aziz.

Filem lakonannya dalam Suamiku Jatuh Dari Langit menemui penonton sejak 17 Jun lalu. Dalam filem itu, Nora bergandingan dengan Qi Razali.

Katanya, selepas Aidilfitri nanti dia akan ke set penggambaran drama 60 episod, Rumi & Jawi arahan sutradara berkaliber, Erma Fatima. Nora turut bergandingan dengan Remy Ishak.

“Saya tetarik dengan Rumi & Jawi sentuhan Erma kerana jalan ceritanya bagus. Apatah lagi saya melakonkan watak peguam.

“Selain itu, saya sentiasa yakin dengan hasil kerja Erma yang kebanyakannya bagus. Jadi, saya enggan lepaskan peluang ini.

“Bagi memenuhi tuntutan watak itu, saya mengambil inisitif memotong rambut pendek,” katanya.

Setakat ini ada lima filem dibintangi belum ditayangkan di pawagam dan empat daripadanya akan menjengah pawagam tidak lama lagi iaitu Polis Evo, Chau Rasta, Isteri Untuk Dijual dan Sayu Yang Syukur.

Mengenai laman sosial Instagram (IG) miliknya yang meraih dua juta pengikut, Nora berkata dia memang tak menduga ia menjadi perhatian.

“Tak dinafikan memang bukan mudah untuk seorang selebriti seperti saya menarik pengikut seramai itu di laman sosial sendiri.

“Banyak yang perlu dikorbankan terutama aspek peribadi. Namun, untuk seorang peniaga atau usahawan memperoleh jumlah pengikut yang ramai di laman sosial adalah sangat okey,” katanya.

Mengakui harus sentiasa cekal dan kena akur dengan apa saja kritikan sama ada membina atau sebaliknya daripada pengikut laman sosial, kata Nora ia perkara biasa yang menjadi lumrah kehidupan seorang selebriti.

Sumber: myMetro