Noraini Mula Jual Dodol Tradisional Sejak 1997 Di Tobiar, Pendang


Jikalau dahulu, dodol hanya boleh dinikmati sewaktu musim perayaan, namun kini ia boleh dinikmati bila-bila masa apabila Snia Enterprise mengkomersialkan manisan itu.

Usahawan, Siti Noor Iliyani Abdullah, 37, berkata, perusahaan dodol mereka diusahakan ibunya, Noraini Hashim, 58, selama 18 tahun sejak 1997 di Kampung Keranji, Tobiar.

“Dahulu, ibu mengacau dalam kawah secara tradisional untuk menghasilkan dodol, tapi kini kami sediakan dodol menggunakan mesin khas dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

“Walaupun proses pembuatan dodol kami mengalami evolusi, namun rasa, kelembutan dan ketahanan manisan resipi turun temurun keluarga ini kekal sama seperti dahulu,” katanya.

Malah Iliyani berkata, dodol yang dihasilkan mereka mampu tahan selama setahun jika bungkusan plastiknya dibuka dan hanya menyimpan di dalam peti ais.

"Kami berjaya meningkatkan dan mengekalkan mutu dodol dihasilkan melalui bantuan dan tunjuk ajar Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi)," katanya.

Dalam pada itu katanya, mereka turut menyediakan dodol jenis kiub dalam bekas kecil untuk tempahan buah tangan dalam majlis program ataupun kenduri kahwin.

"Idea menghasilkan dodol kiub menggunakan bekas kecil berkenaan dicetuskan ibu saya sendiri yang mana ia dijual RM1.20 untuk setiap satu sahaja.

"Namun pelanggan boleh mendapatkan dodol kiub berkenaan pada harga murah iaitu 80 sen setiap satu sekiranya menempah lebih 300 bekas," katanya.

Sumber: Sinar Harian