ALOR SETAR - Akibat kesempitan hidup, pasangan suami isteri di Kampung Padang, Padang Lalang, di sini, terpaksa memberikan anak sulung mereka yang mengidap penyakit kepala besar air soya walaupun doktor menyarankan mereka menyediakan susu khas.
Siti Noraini, 24, berkata, walaupun tahu banyak kesan buruk jika tidak diberi susu khas, namun dia dan suaminya, Mohamad Sukri Hashim, 53, tiada pilihan lain.
Menurutnya, dengan pendapatan suaminya yang bekerja kampung hanya cukup untuk menampung keperluan keluarganya.
"Saya pula tidak bekerja kerana perlu menjaga anaknya (Nur Qaseh, 4) yang sentiasa memerlukan perhatian.
"Qaseh disahkan mengidap penyakit itu ketika berumur enam bulan dan akibat penyakit itu, kini Qaseh tidak boleh berjalan seperti kanak-kanak normal lain," katanya yang turut memberitahu anaknya hanya mampu berjalan menggunakan tangan selepas melakukan fisioterapi.
Noraini berkata, dahulu kepala anaknya akan membesar 1 sentimeter (cm) sebulan, namun sejak Januari lalu, kepala Qaseh mula stabil.
"Walaupun kepala Qaseh sudah tidak membesar tetapi kami masih perlu membawanya ke hospital sebanyak dua kali bulan bagi menjalani rawatan susulan.
"Kos untuk membawanya ke hospital juga sudah mahal, inikan pula mahu beli susu khas yang berharga puluhan ringgit," katanya.
Dalam pada itu, katanya, rumah yang didiami itu juga nampak usang kerana tidak mampu membaikinya.
"Selain keluarga saya, rumah ini turut didiami ayah saya, kakak sulung dan adik bongsu.
"Walaupun ayah ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun ia juga tidak mencukupi memandangkan ayah juga perlu menampung kos pengajian adik yang kini belajar di sebuah institusi pengajian tinggi," katanya.
Menurutnya, ayahnya sudah tidak bekerja kerana mengalami masalah kesihatan dan hanya bergantung kepada bantuan JKM.
Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Noraini, (02100-29-00056843-6) ataupun menghubungi talian 017-4874356.
Sumber: Sinar Harian