Orang Kampung Di Permatang Gedung Sg Petani Redah Air Lumut Setiap Hari

Idris menunjukkan air lumut yang bertakung di jalan kampung ketika cuaca panas hingga mewujudkan lopak air di sebelah kanan manakala di sebelah kiri pula lokasi loji yang dibina jauh lebih tinggi. Gambar kecil: Ahmad
SUNGAI PETANI – Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Permatang Gedung yang melalui jalan kampung untuk ke sekolah, pusat bandar dan jalan utama berdepan limpahan air lumut sehingga menjejaskan kegiatan harian.

Penduduk, Suhardi Abas, 38, mendakwa, kejadian dipercayai berpunca daripada limpahan loji takungan air kegunaan domestik kawasan perumahan Taman Sejati Indah yang berkedudukan lebih tinggi dari jalan kampung.

“Setiap kali air loji penuh atau hujan lebat, pasti jalan kami dilimpahi air dan apabila cuaca panas, air berlumut bertakung di bahu jalan akibat limpahan berkenaan.

“Lebih teruk, ada rumah kampung yang dibina pada kedudukan lebih rendah turut menjadi sasaran sehingga dikatakan limpahan air takungan pernah mencecah ke paras tingkap,” dakwanya.

Suhardi mendakwa, keadaan itu mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada tahap kesihatan malah kepada pengguna yang sering menggunakan jalan tersebut memandangkan kerap terlibat kemalangan.

Dakwanya, isteri dan anaknya juga pernah terjatuh apabila melalui kawasan itu menyebabkan pakaian basah lencun terkena air limpahan takungan yang bukan sahaja kotor dan berlumut malah berbau busuk.

“Jalan pula sempit dan apabila berselisih dengan kenderaan lain, salah satunya perlu beri peluang. Namun, apabila jalan dipenuhi air, penunggang motosikal kadang kala menjadi cemas sehingga tidak dapat mengawal kenderaan menyebabkan berlaku kemalangan,” dakwanya.

Penduduk, Ahmad Mahmud, 76, mendakwa, keadaan air bertakung menyukarkan kanak-kanak yang berjalan kaki dan berbasikal ke sekolah.

“Setiap kali melimpah, habis basah jalan dan bimbang pakaian kotor, kasut sekolah perlu dibuka ketika melalui kawasan tersebut kerana bimbang basah dan berbau,” dakwanya.

Dakwanya, masalah berkenaan sudah berlarutan sejak dahulu lagi namun menjadi lebih serius dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

“Cadangan saya jika dibina pembetung atau dibaik pulih kemudahan longkang dengan lebih baik, ia sedikit sebanyak berkemungkinan dapat mengatasi masalah yang berlaku ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Idris Ayob berkata, masalah itu pernah dibangkitkan penduduk sebelum ini namun belum ada sebarang penyelesaian.

“Longkang dalam kampung sudah sedia ada, namun saiz kecil dan ada yang terkambus serta tidak dapat menampung limpahan air dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Katanya, bantuan dan perhatian mana-mana pihak berkenaan juga dialu-alukan bagi mewujudkan keselesaan dan suasana bersih dalam kampung berkenaan.

Sumber: Sinar Harian