Orang Kampung Lebih Ramai Kibar Jalur Gemilang Berbanding Orang Bandar

Keluarga Zainal Azhar (kanan) sama-sama memeriahkan acara kayuhan Sehati Sejiwa sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke 58 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ahad. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Bersempena Bulan Kebangsaan yang disambut sepanjang bulan ini, rakyat diseru agar tampil lebih patrotik dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang.

Ketika membuat gesaan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berkata aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang lebih banyak dilihat di kawasan luar bandar, berbanding di bandar.

“Kita perlukan kerjasama daripada semua pihak. Masyarakat perlu ada kesedaran mengapa kita raikan kemerdekaan. Penting untuk kita tunjukkan kesetiaan dan mengibar bendera.

“Saya harap individu dan pihak swasta boleh beri kerjasama. Kerajaan boleh beri maklumat, beri galakan tetapi yang penting ialah kerjasama daripada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Kayuhan Sehati Sejiwa bersempena Bulan Kebangsaan 2015 di sini, hari ini.

Bulan Kebangsaan disambut sepanjang Ogos bersempena Hari Kebangsaan yang meraikan kemerdekaan negara pada 31 Ogos setiap tahun.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan dan Pengarah Eksekutf (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Mohd Najib Mohd.

Program anjuran DBKL itu diadakan bersekali dengan program ‘KL Car Free Morning’, iaitu pagi tanpa kenderaan yang diadakan dua kali sebulan iaitu pada Ahad minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

Mengulas mengenai program hari ini, Mohd Salleh berkata selain merapatkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat pelbagai kaum, ia juga menyumbang kepada pembentukan negara bangsa yang sihat.

“Penyertaan amat membanggakan. Selain bersenam, program ini juga menanamkan semangat bersatu padu. Kita dapat melihat kesatuan dan semangat patriotisme peserta yang sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Beliau juga berharap majlis-majlis daerah dan dewan bandaraya lain dapat mencontohi DBKL dalam menganjurkan program seumpama itu di masa depan. – BERNAMA