Halaman rumah Dahari yang dihiasi Jalur Gemilang dan beberapa replika meriam kecil. |
POKOK SENA - Walaupun gagal beberapa kali dalam pertandingan Keceriaan Merdeka peringkat negeri Kedah, itu tidak pernah mematah semangat Dahari Hashim, 67, dari Kampung Baru di sini, untuk terus menghiasi halaman rumahnya dengan dipenuhi Jalur Gemilang.
Dahari berkata, setiap tahun menjadi kewajipan pada dirinya untuk mengibarkan Jalur Gemilang menjelang Hari Kemerdekaan malah memperuntukkan RM500 bagi menunjukkan rasa cinta pada negara.
Menurutnya, walaupun kudrat semakin terhad, tidak menghalangnya untuk menghiasi halaman dengan Jalur Gemilang serta membina sebuah replika dengan meletak dua meriam kecil di hadapan rumah.
“Pertandingan bukanlah tujuan saya membinanya tetapi semangat cinta tanah air melebihi segala-galanya apatah lagi pernah bertempur dengan komunis hingga melihat sendiri rakan saya terkorban,” katanya.
Dahari berkata, setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan dia akan mencipta pelbagai bentuk replika di depan rumahnya bagi menunjukkan sayangnya kepada negara dan memperingati perjuangan rakan-rakannya.
“Tahun ini saya sempat membina sebuah replika kereta perisai yang pernah saya memandunya dahulu semasa berlakunya Peristiwa Konfrontasi 1965 dengan Indonesia dan menentang komunis di Perak.
“Semua yang saya lakukan ini ialah bagi menghayati sejarah yang pernah lalui semasa mempertahan kan negara dari dijajah musuh. Cukuplah zaman nenek moyang kita dijajah dan mengambilnya sebagai pengajaran bagi generasi kita hari ini,” katanya.
Menariknya setiap kali replika itu diperbaharui, ada pelajar sekolah serta kakitangan jabatan awam datang mengkaji mengenai ciptaannya itu.
Malah, pernah beberapa kali dia turut mendapat sijil penghargaan daripada kerajaan Kedah.
Selain itu, setiap tetamu yang datang akan terpegun dengan kalimah keramat terpapar di beberapa dinding tempat pondok rehat di halaman rumahnya seperti Biar Putih Mata Jangan Putih Tulang, Cemerlang Gemilang Terbilang dan Agi Idup Agi Ngelaban.
Sumber: Sinar Harian