"Panjang" Jadi Perhatian Ramai Di IKBN Naka

KUALA NERANG - Ke mana sahaja pemuda berumur 21 tahun ini pergi pasti akan mendapat perhatian orang ramai yang tertarik melihat ketinggian fizikalnya.

Mohd Azlihisyam Ab Ghafar, yang merupakan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka dalam kursus Sijil Lanjutan Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara (Komersil) itu mempunyai ketinggian mencecah 2.13 meter.

Anak kelahiran Kelantan ini juga dikenali sebagai Panjang oleh rakan-rakannya di IKBN menjadi pembantu apabila mereka ingin mengambil barangan di tempat tinggi.

"Rakan-rakan juga akan membantu saya menghidupkan suis di bawah meja kerana saya tidak mampu tunduk akibat fizikal saya,” kata anak ketujuh dari lapan beradik itu.

Panjang berkata, ketinggiannya semakin bertambah sejak berusia 14 tahun hingga menjadi gurauan rakan-rakannya.

Jelasnya, keadaan fizikalnya itu juga menyebabkan beberapa kemudahan asas pelajar di institusi pengajian itu diubah untuk kesesuaian ketinggiannya.

“Pakaian yang disediakan IKBN terpaksa diubahsuai, contohnya seluar terpaksa disambung dan kasut pula terpaksa menggunakan saiz 14 yang dibuat khas untuk saya. Pakaian pula terpaksa saiz XXXL.

“Pada 2012 ketinggian saya ialah 2.05 meter dan kini sudah kepada 2.13meter. Mungkinkah kini saya sudah menjadi manusia tertinggi sekali di Malaysia?

Bagaimanapun itu mesti mendapat kepastian Malaysia Book Of Record kerana mungkin masih ada lagi yang lebih tinggi daripada saya,” katanya.

Panjang berkata, sebelum ini ketinggian rekod manusia tertinggi di Malaysia ialah Sheikh Akmal Sheik Imam, 17, dari Negeri Sembilan iaitu 2.04 meter pada November 2012.

Sementara itu, Pengarah IKBN Naka, Mohd Ridzuan Abdullah Zawawi memaklumkan, kedatangan Mohd Azlihisyam di institusi itu menyebabkan pihaknya terpaksa mengubahsuaikan katil dari dua meter kepada 2.5 meter untuk keselesaan pelajar itu.

Katanya, pengubahsuaian katil itu juga menyebabkan tilam yang disediakan kepada pelajar  turut disambung supaya Panjang dapat tidur dengan sempurna.

Sumber: Sinar Harian