Kawasan jalan yang sering digunakan pelanggan JPJ sebagai tempat parkir alternatif dan menyebabkan jalan masuk ke Taman Serindit terhalang. |
KULIM - Orang ramai yang berurusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dekat sini diharapkan lebih prihatin apabila meletakkan kenderaan di kawasan itu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Serindit, Khairi Salleh berkata, banyak kenderaan yang ingin berurusan di pejabat JPJ meletakkan kenderaan di kawasan bahu jalan masuk ke kawasan perumahan itu.
Menurutnya, kadangkala kenderaan yang diparkir menghalang laluan penduduk kawasan itu untuk ke luar dan masuk ke kawasan itu.
“Bukan saya nak halang orang ramai parkir kereta di situ, saya faham masalah untuk dapatkan parkir tetapi saya minta mereka bertimbang rasa sikit.
“Kadangkala kenderaan mereka parkir sampai halang laluan kami dan ibu bapa yang hantar anak-anak mereka di sekolah agama di situ,” katanya.
Beliau berkata, masalah itu berlarutan sejak bertahun lalu dan menyukarkan penduduk di kawasan ini terutama jika ada kecemasan.
“Mana tahu ada penduduk yang perlu cepat kerana kecemasan tapi laluan di halang, jentera bomba pun susah nak masuk sebab kenderaan yang diparkir halang jalan,” katanya.
Manakala, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Aina, 29 berkata, waktu yang paling banyak kenderaan diparkir di laluan ini antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.
“Waktu ini memang banyak sangat kenderaan, ada yang parkir dekat laluan kami penduduk keluar masuk. Kemudian parkir ikut suka, sampai halang laluan.
“Bukan saya tak bagi parkir tapi minta mereka bertimbang rasa la sikit, penduduk yang nak pergi ambil anak sekolah, ke pekan Kulim akan guna laluan ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian