Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki |
KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mengambil kesempatan menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Pusat daripada beberapa isu yang dibangkitkan di media sosial atas sebab lebih penting iaitu kesejahteraan agama, rakyat serta negara.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki, walaupun ada antara isu itu merupakan kesempatan terbaik untuk Abdul Hadi menyerang, tetapi pendirian dibuat oleh Presiden PAS adalah untuk menyelamatkan negara dan mensejahterakan rakyat.
“Sikap yang ditonjolkan seperti ini menjadi satu lagi petunjuk penting PAS semakin menjadi inklusif berbanding sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Zuhdi turut memberi contoh sifat inklusif PAS yang kini lebih menyerlah kerana turut menjemput kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam majlis-majlis sambutan Hari Raya Puasa berbanding hanya anggota pakatan rakyat sebelum ini.
“Salah satu pendekatan yang akan diterapkan kepada organisasi akar umbi PAS ialah berikhtiar menutup ruang bermusuh atau ruang bersaing bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Janganlah kamu bercita-cita menemui musuh”,” katanya.
Beliau dalam pada itu menjelaskan, keputusan Majlis Syura Ulama PAS memutuskan hubungan dengan DAP membuka ruang lebih besar untuk PAS berhubung langsung dengan rakyat khususnya kaum Cina.
Jelasnya, hubungan PAS dengan kaum Cina sebelum ini dibuat melalui DAP yang bertindak sebagai jambatan penghubung tetapi kini PAS mencipta ruang sendiri tanpa memerlukan lagi perantaraan DAP mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Apa yang penting organisasi PAS di semua peringkat perlu kreatif mencipta ruang bersama dan menutup ruang bermusuh dengan mana-mana pihak kecuali terhadap mereka yang jelas chauvinist dan bersifat anti Islam,” katanya.