PAS Kedah Puji Pendirian Tegas, Istiqamah Amiruddin Kekal Dalam Parti


ALOR SETAR - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Amiruddun Hamzah dipuji PAS Kedah selepas beliau menegaskan akan terus kekal bersama parti tersebut baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya berkata, ketegasan Amiruddin dalam prinsip setia dan istiqamah di dalam perjuangan PAS itu wajar dipuji dan beliau mengucapkan tahniah pada rakan pimpinan partinya itu.

"PAS Negeri Kedah merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas istiqamah beliau itu di mana menzahirkan juga kesediaannya memberikan khidmat dan sumbang bakti berterusan kepada parti dan masyarakat.

"Datuk Amiruddin telah menunjukkan sifat hemahnya yang wajar dicontohi dan melambangkan hikmah parti yang diwakilinya," kata Ahmad sebagaimana yang dipetik dari laman lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Datuk Amiruddun Hamzah 
Sebelum ini, timbul desas-desus umum yang mengatakan kononnya Adun PAS Anak Bukit itu bakal berhijrah mengikut jejak langkah beberapa pemimpin PAS lain untuk menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Menurut Ahmad lagi, penegasan pendirian Amiruddin itu juga telah menandakan dakwaan desas-desus itu merupakan salah satu agenda golongan yang disifatkan sebagai terdesak.

Justeru itu katanya, pihak GHB tidak wajar menbuat sebarang dakwaan secara serkap jarang terhadap mana-mana pemimpin PAS dengan mengandaikan mereka akan menyertai gerakan tersebut. -Kedahnews.com