PAS Kedah Sasar Penyertaan 50,000 Peserta Berhimpun Pada 22 Ogos Ini

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor
PAS Negeri Kedah akan menganjurkan himpunan berskala besar membabitkan kehadiran 50,000 peserta bersempena program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat Negeri Kedah bertempat di Kompleks PAS Kedah pada 22 Ogos depan.

Dinamakan sebagai “Himpunan Tolak BN - Beristiqamah Hingga Kemenangan” ianya akan disertai pemimpin PAS Pusat, ahli dan penyokong PAS di semua peringkat dari seluruh PAS Kawasan dalam negeri Kedah.

Menurut Pengarah Himpunan, Muhammad Sanusi Md Nor, program tersebut sangat signifikan dengan suasana politik semasa yang bertujuan membangkitkan semangat dan keazaman seluruh pemimpin, ahli serta penyokong PAS bagi menumbangkan BN dalam pilihan raya akan datang.

“Kami telah menyusun tiga segmen utama Himpunan Tolak BN ini iaitu Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden bagi menghadam dan menggerakkan plan tindakan yang telah digariskan oleh Tuan Guru Presiden dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-61 lalu.

“Pada sebelah petang akan diadakan acara khas Pemuda dan Muslimat melibatkan pelbagai aktiviti. Menjelang maghrib, acara Munajat Perdana akan dikelolakan oleh Dewan Ulamak, diikuti dengan Pidato Perdana Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden serta beberapa tokoh besar PAS yang lain.

“Selain pendedahan dan ulasan pendirian PAS dalam isu politik semasa, khususnya keperluan mendesak untuk menumbangkan BN, saya percaya peserta himpunan akan mendapat suntikan penting bagi melonjak gerak kerja ‘jihad secara aman’ yang diperjuangkan oleh PAS,” ujar beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Kedah.

Sanusi turut menyeru para pencinta keamanan, keadilan dan seluruh ahli masyarakat yang menentang kezaliman, penindasan, rasuah serta salah guna kuasa BN, seluruh ahli untuk turut hadir bermula jam 1.00 petang hingga 12.00 malam.

Himpunan itu katanya, amat mustahak untuk menyatakan sikap rakyat terhadap penindasan BN kesan pelaksanaan GST, skandal 1MDB, penyelewengan dana awam, tekanan kos sara hidup, kejatuhan nilai ringgit, penyalahgunaan agensi awam dan sebagainya.

Jelasnya, semua isu ini akan diperjelaskan dengan pandangan dan tuntutan penyelesaian menurut Islam yang diketepikan oleh BN.

“Isu kedudukan terkini pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah yang menjadi sebahagian matlamat penting perjuangan politik PAS juga akan dihuraikan oleh para pimpinan.

“Program ini juga adalah menepati perancangan PAS Pusat yang mengarahkan penganjuran Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK 8.0) di semua negeri seluruh negara,” katanya. - Harakah