PAS Mungkin Jemput Yusof Al-Qaradhawi Selesai Masalah Dengan GHB

Prof Dr. Syeikh Yusof Abdullah Al-Qaradhawi 
KUALA LUMPUR – Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Mohd. Misbahul Munir Masduki mencadangkan supaya ulama tersohor dunia, Prof Dr. Syeikh Yusof Abdullah Al-Qaradhawi dipanggil bagi membantu menyelesaikan kemelut yang ditimbulkan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Kata beliau, Yusuf boleh membentuk Majlis Tahkim bagi menjadi orang tengah untuk menyelesaikan perbalahan yang timbul antara GHB dengan PAS.

“Saya mencadangkan supaya dibentuk Majlis Tahkim yang dianggotai oleh mana-mana pihak atau individu yang saling dipercayai oleh PAS dan GHB.

“Ulama tersohor seperti Yusuf adalah salah seorang ulama terbaik bagi menjadi orang tengah dalam penyelesaian isu ini,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Mohd. Misbahul berkata, penglibatan tokoh-tokoh Islam antarabangsa seperti itu diperlukan kerana mereka mempunyai pengalaman dalam menghadapi pergeseran jamaah Islam.

Katanya, situasi politik di Malaysia sekalipun panas, tetapi tidak kronik dengan persengkataan politik dunia luar.

“Masing-masing pihak hendaklah sering menghentikan serangan-serangan politik yang tidak menguntungkan,” katanya. -Kedahnews.com