PAS Punyai Kuasa Terus Pecat Ahli Terbukti Sertai GHB - Mohd Amar

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
ALOR SETAR - Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan bahawa PAS mempunyai kuasa untuk memecat secara serta-merta mana-mana ahli parti itu sekiranya didapati terbukti bersalah menyalahi perlembagaan parti tersebut, termasuk menyertai Gerakan Harapan Baru.

Tegas beliau, bukti-bukti tersebut akan dikumpul terlebih dahulu untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Disiplin PAS sebelum diambil tindakan sekiranya di dapati bersalah berdasarkan empat hukuman utama.

"Jawatankuasa PAS Pusat mempunyai kuasa untuk memecat terus mana-mana anggota parti yang didapati bersalah, namun jika dibawa ke Jawatankuasa Disiplin parti, ada empat bentuk hukuman yang boleh dikenakan," katanya yang dipetik dari Bernama.

Beliau berkata empat bentuk hukuman tersebut adalah seperti diminta mengemukakan surat tunjuk sebab, amaran, gantung keahlian dan akhir sekali akan dipecat daripada menganggotai PAS.

Mengulas mengenai ahli PAS yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB), Timbalan Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan bahawa PAS sedang membina kes melalui pengumpulan bukti dan maklumat lengkap terhadap anggotanya berbuat sedemikian.

Pemimpin utama GHB
Kata beliau, pengumpulan bukti-bukti itu dikendalikan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, bagi menyediakan laporan lengkap dan membentangkannya kepada PAS Pusat tidak lama lagi.

"Daripada situ baru kita boleh buat keputusan apa tindakan yang perlu kita ambil," katanya di Majlis Kutipan Dana Dewan Pemuda PAS Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Jelas beliau lagi, hanya Jawatankuasa PAS Pusat ataupun Jawatankuasa Disiplin parti yang berhak menentukan nasib anggota-anggota parti yang menyertai GHB. -Kedahnews.com