PAS Saran Kementerian Bantu Kewangan Pelajar Di Luar Negara

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan
ALOR SETAR – PAS menyarankan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi supaya mengemukakan inisiatif pelan bantuan terhadap para pelajar Malaysia di luar negara berikutan kejatuhan nilai ringgit.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, kejatuhan nilai ringgit malaysia berbanding dolar Amerika Syarikat memberi tekanan kewangan ke atas pelajar Malaysia di luar negara.

“Ia telah meningkatkan kos yuran pengajian termasuk sara hidup harian mereka.

“Sekiranya perkara ini berterusan, maka ramai pelajar Malaysia terpaksa menangguhkan pengajian dan pulang semula ke negara ini untuk tempoh masa tertentu,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam di ibu negara.

Beliau bagaimanapun memuji Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana meluluskan bantuan segera RM2.5 juta kepada para pelajar Johor yang menuntut di Mesir dan Jordan.

Justeru, Nasrudin mencadangkan kerajaan Malaysia berunding dengan pengurusan pendidikan di luar negara agar masalah kewangan yang dihadapi tidak menjejaskan proses pengajian pelajar terbabit.

“Antara cadangan yang difikirkan perlu adalah mengkoordinasi bantuan kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri.

“Memberikan jaminan kewangan kepada pihak pengurusan universiti bagi pihak pelajar dan berbincang untuk melanjutkan tempoh pembayaran yuran pengajian bagi tempoh masa tertentu,” katanya. -Kedahnews.com