PAS Selangor Dakwa Hanya Segelintir Letak Jawatan, Ramai Bukan Ahli

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman
PAS Selangor menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa wujudnya gerakan besar-besaran dari dalam parti itu yang meletak jawatan di dalam PAS untuk menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) pimpinan bekas Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, mereka yang meletak jawatan di negeri tersebut hanyalah melibatkan segelintir kecil ahli parti dan ramai yang disenaraikan keluar parti itu bukan ahli Pas.

"PAS Selangor mengikut dengan dekat perkembangan pengisytiharan letak jawatan ahli Pas di Kota Raja.

"Kita dapati hanya segelintir kecil saja ahli PAS di peringkat kawasan dan cawangan yang terlibat bersama Harapan Baru (GHB), yang selebihnya kita dapati mereka bukan ahli PAS,” kata Mohd Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, seramai 183 ahli yang memegang jawatan dalam PAS Kota Raja meletakkan jawatan selain 227 ahli PAS Kapar dan tiga dari PAS Klang.

Hari ini, dilaporkan bahawa majoriti kepimpinan PAS Kawasan Shah Alam pula bertindak mengikut jejak langkah tersebut dan dikatakan bakal menyertai GHB.

Ketika ditanya mengenai angka 183 ahli PAS seperti yang didakwa, Khairuddin menjelaskan bahawa ramai di kalangan mereka yang namanya tidak tersenarai di dalam rekod sebagai ahli PAS.

“Menurut laporan di cawangan, ramai tiada dalam rekod parti dan bukan ahli,” jelasnya.

Peletakan jawatan itu melibatkan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang juga Naib Yang DiPertua PAS Kawasan itu serta sembilan ketua cawangan PAS Kota Raja.

Menurut Khairuddin lagi, sejajar dengan perletakan jawatan itu, pihaknya telah bertindak mengambil alih pentadbiran kawasan Kota Raja sebagaimana mandat yang diberikan oleh PAS Pusat bersesuaian dengan perlembagaan parti.

"Kita telah ada senarai nama yang baru dan kita akan mengisi kekosongan yang ada"

"Pentadbiran Pas Selangor tidak terjejas dengan perkembangan ini dan kita dapat menangani isu ini tanpa sebarang masalah,” katanya lagi. -Kedahnews.com