Patriotik Membara, #SehatiSejiwa Warga Malaysia Walau Di Luar Negara


KUALA LUMPUR – Peribahasa ‘jauh di mata dekat di hati’ bertepatan dengan perasaan rakyat Malaysia di perantauan yang pasti merindukan juadah, keselesaan dan rutin kehidupan kampung halaman setiap kali tibanya perayaan utama termasuk sambutan hari ulang tahun kemerdekaan.

Tarikh 31 Ogos jelas terukir di hati kerana mereka pasti terkenangkan sambutan serta perarakan berwarna-warni Hari Kebangsaan yang diraikan setiap tahun di negara ini.

Seluruh rakyat Malaysia akan meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2015 pada Isnin. Setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik semestinya menghayati erti kemerdekaan demi menyemarakkan lagi semangat patriotik di sanubari demi kesejahteraan bangsa dan negara.

Tema #sehatisejiwa dipilih untuk bulan kemerdekaan tahun ini bagi mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat sama ada yang berada di negara ini mahupun di luar negara.

JATI DIRI TEGUH

Bernama menemu bual beberapa orang rakyat Malaysia yang menetap di luar negara untuk mengetahui perasaan dan pandangan mereka menjelang Hari Kebangsaan ini.

Dengan semangat patriotik masih menebal, rakyat Malaysia yang kini berada di luar negara tidak ketinggalan turut bersyukur dan berbangga menyambut bulan kemerdekaan.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan Nor Nainidiana Aziz,30, berkata antara perkara yang paling sukar yang pernah dilalui dalam hidupnya adalah meninggalkan tanah air tercinta, Malaysia.

Beliau yang kini menetap di Bandar Seri Begawan Brunei Darussalam sejak tiga bulan lalu berkata bukanlah menjadi persoalan sama ada seseorang itu meninggalkan tanah air untuk seketika atau tempoh yang lama, kerana jati diri sebagai anak Malaysia sepatutnya teguh.

“Saya bangga jadi rakyat Malaysia dan akan selalu mengikuti setiap perkembangan negara dan pastinya sentiasa mengingati tarikh 31 Ogos,” katanya yang berpindah kerana mengikuti suaminya, seorang rakyat Brunei.

Beliau juga mengakui walaupun budaya antara Malaysia dan Brunei tidak banyak berbeza, masih terdapat aspek-aspek lain yang perlu dipelajarinya mengenai selok-belok masyarakat negara itu.

“Walaupun serumpun, kami boleh saling berkongsi pengalaman dan budaya yang serupa manakala saling mempelajari yang berbeza,” kata beliau sambil mengakui berbangga untuk berkongsi perihal negara tercinta dengan sesiapa saja yang ditemuinya.

Beliau berharap akan mudah serasi di perantauan sepertimana suaminya mudah menerima budaya rakyat Malaysia ketika melanjutkan pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi di ibu negara dulu.

Sambil mendoakan agar Malaysia kekal aman dan maju, Nor Nainidiana berharap rakyat negara ini akan terus bersatu padu ketika berdepan apa jua ujian dan rintangan yang cuba menggugat keharmonian pelbagai kaum demi masa depan generasi akan datang.

NIKMAT KEMERDEKAAN

Turut melahirkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia ialah seorang pelajar di University Of Sheffield, United Kingdom, Muhammad Firdaus Mohd Nazam, 28.

Beliau yang percaya bahawa membawa nama Malaysia ke luar negara adalah satu penghormatan besar berkata: “Walau apa pun yang diperkatakan oleh masyarakat antarabangsa mengenai Malaysia, saya tetap berbangga memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia.”

Katanya lebih membanggakan apabila masyarakat dunia turut mengenali Malaysia berdasarkan pencapaian dan pembangunan negara.

“Contohnya, jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan sekitar tahun 50-an, Malaysia adalah antara yang paling maju hasil kebijaksanaan para pemimpin terdahulu,” kata beliau.

Beliau percaya masyarakat terdahulu lebih memahami erti kemerdekaan terutamanya generasi yang melalui kehidupan pada zaman sebelum merdeka.

Muhammad Firdaus berpendapat, generasi muda perlu sesekali menoleh ke belakang, ke zaman sebelum merdeka bagi memahami apa yang telah ditempuhi oleh generasi di zaman dahulu demi memerdekakan negara ini.

“Mereka perlu lebih banyak membaca mengenai kisah-kisah perjuangan mencapai kemerdekaan selain meluangkan masa untuk berbual dengan golongan yang melalui zaman prakemerdekaan,” katanya.

Melalui pendekatan ini, tambah beliau, mereka akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai kesukaran hidup tanpa nikmat kemerdekaan.

Muhammad Firdaus percaya bahawa pemahaman tersebut akan dapat mengubah persepsi golongan muda terhadap nikmat kemerdekaan justeru akan berusaha bersungguh-sungguh mempertahankannya.

Beliau turut memetik kata-kata ahli falsafah berketurunan Sepanyol, George Santayana, “Sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya”.

“Saya amat yakin dengan adanya pemimpin yang meletakkan kepentingan negara mengatasi segalanya, maka Wawasan 2020 iaitu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi bukan lagi sekadar angan-angan tetapi sesuatu yang dapat dicapai dalam masa terdekat ini,” pemuda yang berasal dari Seri Kembangan,
Selangor itu.

“Saya harap kepakaran, pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh sepanjang menuntut di bumi asing ini akan membantu saya untuk menyumbang bakti kepada bangsa dan negara serta membantu memacu kemajuan negara,” katanya yang pernah belajar selama dua tahun di Republik Czech sebelum ini.

Muhammad Firdaus juga menegaskan bahawa kejayaan sesebuah negara itu tidak akan tercapai jika tiada sokongan daripada segenap lapisan masyarakat kerana ia harus bergerak seiring dengan semangat perpaduan kaum yang utuh.

JAGA KEHARMONIAN

Sementara itu, bagi pekerja teknikal kawalan serangga di Singapura, Mohd Fadhzili Hassan ,25, mencari rezeki dan bekerja di luar negara bukan keputusan mudah namun ia satu pengalaman yang sangat berharga.

Setelah sudah empat tahun bekerja di Kota Singa itu, beliau berkata kesusahan mencari rezeki di tempat orang mendidik dirinya menjadi lebih cekal dalam menjalankan kehidupan.

Mengakui pendapatan di negara seberang Selat Tebrau itu agak lumayan, beliau yang menetap di Kampung Desa Melayu Majidee, Johor Bahru berkata: “Bukanlah perkara mudah berulang-alik menaiki motosikal seawal pukul 5 pagi ke Woodlands setiap hari.”

Bekerja di negara jiran itu tidak bermakna semangat patriotiknya terhakis, malah Mohd Fadhzili mengakui bahawa semangat patriotik dan jati dirinya masih menebal, selain mengajarnya lebih menghargai tanah air sendiri.

“Saya ke sana sekadar mencari rezeki, Malaysia masih tetap di hati dan jiwa saya,” tegasnya ringkas.

Beliau berkata bahawa masyarakat harus menghargai dan mempertahankan keharmonian yang dimiliki hari ini turut menegaskan agar generasi muda tidak mudah terpengaruh dengan diayah dan propaganda luar yang mahu memporak-perandakan negara ini.

“Mereka hendaklah sentiasa berfikiran matang dan rasional sebelum membuat sebarang tindakan dan tidak mengikut darah orang muda yang memang mudah panas,” tambahnya.

Mohd Fadhzili juga berharap rakyat negara ini terutamanya generasi muda menghayati erti kemerdekaan dan menghargai kesenangan yang dikecapi pada hari ini kerana “segala nikmat hari ini adalah hasil pengorbanan nenek moyang kita dahulu”. – BERNAMA