ALOR SETAR – Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) kesal dengan bilangan penyokong Johor Darul Ta1zim (JDT) ke Stadium Larkin kian merundum sejak kebelakangan ini.
Presidennya, Datuk Ismail Karim berkata, senario itu tidak seharusnya berlaku selepas begitu banyak dilakukan oleh PBNJ untuk memajukan sukan itu di Johor.
“Setelah begitu banyak perkara yang telah PBNJ lakukan untuk memajukan sukan dan pembangunan bola sepak, kehadiran dan sambutan penyokong ke stadium masih mengecewakan dalam baki enam perlawanan terakhir.
“Penyokong perlulah beramai-ramai turun ke stadium memberi sokongan dan bukan sekadar menonton di televisyen. Ayuh, penuhkan stadium demi kemajuan sukan bola sepak Johor,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Bola sepak Johor sejak diambil alih oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim beberapa tahun lalu kembali meriah dengan pelbagai penambahbaikan dilakukan daripada segi infrastrukur dan fasiliti.
Baginda bagaimanapun meletakkan jawatan Presiden PBNJ pada 12 Julai lalu dan mengumumkan Ismail sebagai penggantinya sebelum memaklumkan baginda menjadi Penaung Diraja PBNJ.
Tunku Ismail pada pertengahan tahun ini juga dikaitkan dengan beberapa kontroversi membabitkan kritikan ke atas kepimpinan kerajaan Persekutuan. -Kedahnews.com