Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut atau menggalakkan keganasan, termasuk kumpulan anti-Bersih, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Kita akan ambil tindakan terhadap sesiapa yang melakukan provokasi terhadap pihak lain dan ini termasuk mereka yang dikenali sebagai baju merah," kata Ketua Polis Negara.
Khalid berkata, mana-mana pihak sama ada peserta Bersih 4.0 mahupun anti-Bersih akan berdepan dengan undang-undang sekiranya mereka terlibat dalam keganasan.
"Kita akan menjalankan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
"Keutamaan kita ialah keselamatan orang ramai. Kita tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan provokasi atau keganasan," katanya.
Khalid turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 pada hujung minggu ini kerana ia menyalahi undang-undang.