PDRM Terima 1,200 Buah Kereta Peronda Baru Hingga Hujung Tahun Ini

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima 1,200 buah kereta peronda baharu jenis Proton Inspira secara berperingkat mulai hujung tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kenderaan itu diterima khusus untuk menggantikan kereta peronda yang berusia lapan tahun ke atas.

“Kita lancarkan kereta peronda dengan imej yang baharu di mana stripe (jalur) sedikit berubah dan kita gunakan reflektor berwarna hijau.

“Ada sedikit pertambahan peralatan dan teknologi baharu di dalam kereta ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis serah terima tugas pengarah pengurusan dan pengarah cawangan khas di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk meletakkan sistem C4i, iaitu sistem yang melibatkan urusan mengarah, mengawal, komunikasi, koordinasi dan informasi, selain Sistem Pengesanan Global (GPS) di dalam kereta peronda baharu ini. – BERNAMA