Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. |
PUTRAJAYA - Permohonan pengambilan pekerja asing pada masa akan datang tidak lagi melibatkan ejen, sebaliknya majikan perlu mengemukakan permohonan itu secara dalam talian, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, sistem pengurusan pekerja asing secara dalam talian itu, yang akan diperkenalkan tidak lama lagi, memendekkan tempoh untuk membawa masuk pekerja asing.
Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri berkata, permohonan konvensional dengan majikan perlu hadir ke Pusat Kelulusan Setempat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil masa selama tiga hingga enam bulan.
"Tetapi permohonan dalam talian akan mendapat kelulusan 48 jam setelah permohonan itu menepati syarat-syarat ditetapkan kementerian. Kita telah membuat percubaan dan mendapati sistem ini lebih berkesan.
"Sistem permohonan 'single window synchronisation' diwujudkan agar tidak berlaku pertindihan dan saling hubung yang berbeza antara dua kementerian itu (KDN dan Kementerian Sumber Manusia)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin yang pertama selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet pada 28 Julai lepas.
Ditanya sama ada proses permohonan itu dipantau KDN, Ahmad Zahid berkata: "Majikan akan menggunakan borang dalam talian dan kerajaan akan memeriksa permintaan berapa ramai pekerja asing yang diperlukan.
"Selepas itu, kementerian terbabit akan berhubung dengan negara sumber yang mempunyai senarai pekerja didaftar untuk menyediakan jumlah pekerja yang diminta serta beberapa prasyarat seperti data dan biometrik pekerja asing perlu dipatuhi sebelum proses penghantaran dibuat," jelas beliau.
Mengenai nasib ejen yang berdaftar dengan kementerian, Ahmad Zahid berkata apabila sistem permohonan dalam talian diperkenalkan, majikan tidak lagi perlu mengeluarkan wang memandangkan kerajaan menyediakan kemudahan itu secara percuma.
Selain permohonan dalam talian, Ahmad Zahid berkata jawatankuasa yang bermesyuarat selama dua jam itu turut memutuskan dua lagi perkara berhubung pekerja asing untuk memenuhi keperluan industri dan pertumbuhan ekonomi negara.
Mesyuarat itu memutuskan bahawa majikan wajib menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja asing berdasarkan standard minimum yang ditetapkan kerajaan.
Penyediaan kemudahan penginapan oleh majikan akan dijadikan sebagai prasyarat kelulusan permohonan bagi majikan yang layak mengambil pekerja asing.
"Penempatan secara pusat akan diletakkan di satu kawasan penginapan khusus dengan menyediakan kemudahan asas seperti tempat makan, tandas dan pusat ibadah untuk agama berlainan di atas tahap kemanusiaan serta mengurangkan risiko masalah sosial dan jenayah," katanya.
Ahmad Zahid berkata, projek perintis penempatan itu sudah dimulakan di Pengerang, Johor dan mampu menempat 10,000 pekerja asing di dalam satu pusat penginapan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan dan jaringan keselamatan sosial akan diberikan kepada pekerja tempatan untuk dilatih sebagai pekerja separa mahir dan mahir dalam sektor tertentu.
"Ini kerana pekerja asing hanya melakukan pekerjaan yang tidak diminati rakyat tempatan seperti kerja yang kotor, berbahaya dan sukar," katanya.
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat itu juga memutuskan majikan perlu mematuhi prinsip liabiliti ketat dalam pengambilan pekerja asing bagi memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pekerja asing yang digajikan.
"Ke bertanggungjawab itu bermula dari peringkat permohonan, penggajian dan sehingga pekerja asing itu dihantar pulang ke negara asal.
"Majikan juga perlu bertanggungjawab sekiranya penghantaran semula ke negara asal melewati masa dan pekerja asing berpindah ke majikan lain," katanya.
Beliau berkata majikan yang tidak menepati syarat-syarat itu akan dikenakan penalti mengikut kesalahan yang dilakukan.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot yang turut menghadiri mesyuarat itu berkata penempatan secara pusat yang disediakan kepada pekerja asing perlu menepati syarat keluasan 4.5 meter persegi bagi sebuah bilik dan satu tandas untuk setiap lima pekerja asing. -Bernama