Zaulkafle menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jitra berhubung kejadian menimpa anaknya |
BUKIT SELAMBAU – Seorang bapa bimbang dengan keadaan anaknya yang trauma selepas mendakwa dilempang warden asrama sehingga mengalami kecederaan gegendang telinga sebelah kiri.
Zaulkafle Mat Isa, 46, mendakwa, kejadian itu menyebabkan anaknya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terlepas menduduki satu kertas peperiksaan percubaan SPM kerana perlu menjalani pemeriksaan doktor akibat kecederaan itu.
Dakwanya, pada 23 Ogos lalu, anaknya yang merupakan pelajar cemerlang 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 dan 6A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 memaklumkan sedang melakukan pemeriksaan telinga.
“Saya terus ke hospital dan doktor menyatakan bahagian gegendang telinga anak bernanah,” katanya.
Menurutnya, akibat tidak berpuas hati, dia membawa anaknya membuat laporan di Balai Polis Jitra sebelum membawa anaknya melakukan pemeriksaan sekali lagi.
“Doktor minta kami datang semula untuk berjumpa pakar kerana dimaklumkan bahagian gegendang telinga bernanah serta perlu jalankan pemeriksaan terperinci,” dakwanya.
Dakwanya, kejadian malam 22 Ogos 2015 itu dikatakan berlaku apabila seorang warden asrama tiba-tiba meluru ke arah anak dan menampar telinga atas alasan tidak mengikuti majlis tahlil tanpa sebarang pertanyaan atau penjelasan.
"Anak saya mengalami bunyi berdesing di telinga selain tidak dapat melelapkan mata akibat kesakitan di bahagian itu.
"Dia kemudian diminta rujuk ke bahagian pakar Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan mengesahkan terdapat kesan terkoyak sebanyak 20 peratus di bahagian gegendang telinga selepas pemeriksaan lanjut dan ujian pendengaran dilakukan.
“Anak juga mendakwa ada cecair mengalir di bahagian telinga menyebabkan ketidakselesaan," katanya.
Menurutnya, dia amat terkilan dengan tindakan warden berkenaan yang ternyata bertindak mengikut emosi tanpa tindakan munasabah.
“Seorang warden atau guru sepatutnya menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada pelajar, perlu selidik dahulu sebelum melakukan tindakan," katanya.
Katanya, tahun ini anaknya bakal menghadapi peperiksaan besar dan bercita-cita melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Namun kini dia berada dalam keadaan trauma dan bimbang menjejaskan pelajarannya,” katanya.
Zaulkafle bagaimanapun memohon tindakan sewajarnya diambil ke atas guru berkenaan bagi mengelakkan tindakan sama dilakukan kepada pelajar lain.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, beliau belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian.
“Jika benar dakwaan itu, saya minta siasatan dibuat dan memohon Kementerian Pendidikan melihat secara serius isu ini serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian