Remaja 16 tahun yang baru disingkirkan dari persekolahan ditahan polis kerana dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan dadah. |
KUALA NERANG - Aktiviti seorang pelajar sebuah sekolah di Naka, di sini, yang mengedar ganja kepada rakan akhirnya terbongkar apabila kegiatannya dikesan guru.
Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintendan, Ahmad Nasir Jaafar berkata, pelajar berumur 14 tahun itu menjadi orang tengah mengedar ganja dan sebagai balasan dia akan mendapat bekalan dadah secara percuma.
"Perbuatan itu terbongkar apabila gurunya membuat pemeriksaan selepas melihat suspek dalam keadaan mencurigakan di tepi bangunan makmal sekolah kira-kira jam 9 pagi.
"Guru itu menemui tiga paket ganja seberat 1.68 gram bernilai RM30 dalam poket seluarnya sebelum membawa suspek ke balai polis Naka untuk siasatan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, hasil maklumat sekolah, pelajar terbabit ditahan kira-kira jam 11.30 pagi.
Katanya, siasatan mendapati pelajar terbabit terlibat aktiviti penagihan dan pengedaran sejak dua bulan lalu.
"Bekalan diperoleh daripada seorang lelaki yang tinggal di kawasan itu dan menggunakan pelajar terbabit untuk menjual bahan terlarang dengan harga RM10 sepeket.
"Saringan air kencing mendapati pelajar terbabit positif ganja dan direman bermula kelmarin bagi membantu siasatan," katanya.
Dalam pada itu, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan usaha memburu lelaki yang membekalkan dadah kepada pelajar terbabit giat dijalankan.
Sumber: Sinar Harian