Pelajar Kolej Vokasional Sungai Petani 1 Maut Kemalangan

SUNGAI PETANI – Seorang pelajar Kolej Vokasional Sungai Petani 1 maut apabila mengalami kecederaan parah di kepala selepas terbabit kemalangan semasa dalam perjalanan menghadiri kelas semalam.

Mangsa, Muhammad Aidil Hifny Abdul Rahman, 18, menunggang motosikal dari rumahnya di Taman Ria Jaya sebelum terbabit kemalangan di Kilometer 53.8 Jalan Alor Setar-Butterworth dalam kejadian lebih kurang jam 7.30 pagi.

Anak ketiga dari empat beradik itu merupakan pelajar tahun akhir kolej berkenaan dalam jurusan pemesinan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila dia dilanggar sebuah lori yang juga dari arah sama melalui Sungai Petani ke Bedong, ketika mahu sampai ke pusat pengajian itu.

Sumber polis mengesahkan menerima panggilan dari orang awam pada jam 7.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani sebelum mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Petani.

Sumber: Sinar Harian