Sebahagian mahasiswa KPTM Alor Setar bergambar kenangan selepas menjayakan program membantu gelandangan, baru-baru ini. |
ALOR SETAR - Prihatin dengan nasib golongan kurang bernasib baik khususnya gelandangan, seramai 60 mahasiswa Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar menganjurkan program ‘Kami Peduli Gelandangan’.
Program anjuran Kelab Bimbingan dan Kaunseling KPTM Alor Setar telah diadakan pada Khamis lalu dengan menumpukan hampir 20 gelandangan di sekitar pusat bandar Alor Setar.
Timbalan Pengarah Projek, Ahmad Irfannudin Jamaluddin berkata, dia bangga dengan sikap dan keprihatinan pelajar yang mahu turut serta membantu mengedar makanan percuma kepada golongan gelandangan.
“Ini satu usaha murni meskipun kita sibuk dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, namun masih tetap prihatin membantu golongan yang amat memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, program tersebut merupakan kali pertama diadakan hasil cetusan idea para pelajar KPTM Alor Setar.
“Kita juga bercadang mengadakan program seperti ini sebulan dua kali sebagai tanda prihatin pihak KPTM terhadap masyarakat luar,” katanya.
Sumber: Sinar Harian