Peluang Kerjaya Anak Muda Kuasai Samudera Negara Bersama TLDM

Gambar Hiasan
ALOR SETAR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilapor bakal mengadakan pemilihan untuk mengambil anggota-anggota baru lelaki dan wanita bagi menganggotai pasukan tersebut bermula pada 11 Ogos hingga 23 September ini.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memberitahu, mereka yang layak menyertai pemilihan itu adalah individu bujang berusia antara 18 hingga 23 tahun.

“TLDM mempelawa warga Malaysia lelaki dan wanita berumur di antara 18 hingga 23 tahun pada 14 Disember 2015, bujang dan sihat tubuh badan untuk berkhidmat sebagai anggota Lain-Lain Pangkat TLDM.

“Pemilihan Awal Laskar Muda TLDM Siri 213/15 akan diadakan secara terbuka di beberapa lokasi,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, calon dikehendaki hadir ke lokasi untuk sesi pemilihan awal dengan berpakaian sukan dan berkasut pada tarikh dan waktu ditetapkan.

“Pendaftaran dibuka dari pukul 8 hingga 9 pagi. Syarat-syarat kelayakan dan maklumat lanjut, sila hubungi Sel Pengambilan LLP ditalian 03-20713177/6925 atau layari laman sesawang www.navy.mil.my,” kata kenyataan tersebut. - Kedahnews.com