SUNGAI PETANI - Setiausaha Agong Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Kebangsaan, Datuk Suhaimi Abdullah menggesa usaha perlu dilakukan untuk menarik golongan muda sebagai aktivis dan sukaralewan Pemadam.
"Kita perlu mendekati golongan profesional untuk ambil bahagian bukan hanya dalam aktiviti yang dianjurkan, malah memegang jawatan di peringkat Unit, daerah dan negeri.
"Ini bersesuaian kerana golongan sasar adalah para remaja termasuk pelajar sekolah yang mudah terpengaruh dengan gejalan penyalahgunaan dadah.
"Kita berhadapan cabaran getir kerana peruntukan yang diberikan untuk memerangi gejala ini agak terhad. Namun ini tidak bermakna kita perlu mengalah," jelasnya ketika menutup Seminar Pemantapan Pemimpin Pemimpin Pemadam daerah seluruh Kedah di Pantai Merdeka Resort.
Seramai 60 peserta terdiri daripada Setiausaha, Bendahari dan Ahli Jawatankuasa Pemadam daerah menyertainya.
Sumber: Sinar Harian