Keadaan lori kontena yang terbakar kelmarin |
ALOR SETAR – Seorang pemandu kontena nyaris maut apabila lori yang dipandunya terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di hadapan kilang Inokom, Jalan Kulim Hi-Tech, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan mangsa yang berusia 40-an mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Azizi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.01 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati sebuah lori kontena dan sebuah lori pasir terlibat dalam kemalangan serta menyebabkan kebakaran.
“Kejadian itu turut menyebabkan lori kontena terbakar hampir 50 peratus manakala lori pasir pula terbakar 80 peratus,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan dibawa orang awam ke Hospital Kulim sebelum ketibaan bomba.
Azizi berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.
Difahamkan, pemandu lori pasir itu melarikan diri selepas kemalangan itu.
Sumber: Sinar Harian / Foto: Ihsan Bomba