Pemandu Lori Tak Puas Hati, Ops Kenderaan Berat Dalam Taman Jadi Kecoh

Antara lori yang diparkir dalam kawasan perumahan dikenakan kompaun dalam Ops Kenderaan Berat Dalam Taman.
GURUN – Ops Kenderaan Berat Dalam Taman yang dijalankan di kawasan ini, kecoh apabila seorang pemandu lori yang dikenakan kompaun tidak berpuas hati dengan tindakan pihak penguatkuasa.

Namun kekecohan itu hanya seketika kerana berjaya diselesaikan dengan sikap toleransi penguatkuasa serta kehadiran anggota polis yang turut serta dalam ops berkenaan.

Pemandu lori itu dikenakan kompaun atas kesalahan Perintah Kenderaan-kenderaan Berat (Sekatan Penggunaan Jalan) Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) 1996.

Pemandu itu tidak berpuas hati apabila dia sudah tiga kali dikenakan kompaun kerana meletakkan kenderaan di kawasan perumahan.

Katanya, dia terpaksa meletakkan kenderaannya di kawasan berkenaan kerana tiada lokasi khas.

Pemandu terbabit juga mendakwa dia meletakkan kenderaannya itu sekejap sahaja untuk berjumpa dengan ahli keluarganya.

Pegawai Undang-Undang MPSP Kedah, Nurul Shashabilla Ahmad Sukri berkata, dalam ops yang bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam itu meliputi kawasan Sungai Petani, Sungai Lalang, Gurun, Bandar Puteri Jaya dan sekitarnya.

“Sebanyak 30 kompaun MPSP dikeluarkan kepada kenderaan berat melebihi lima tan yang diparkir dalam kawasan perumahan.

“Selain itu, seramai 18 pelesen dan pemandu turut dipanggil hadir ke pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk siasatan selanjutnya.

“Manakala, anggota trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut serta dalam ops turut mengeluarkan dua notis atas kesalahan menghalang lalu lintas,” katanya.

Ops yang disertai 50 anggota penguatkuasa terdiri daripada MPSPK, SPAD, PDRM dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan itu diketuai Ketua Jabatan Penguatkuasaan MPSPK, Anil Aris.

Sumber: Sinar Harian