Pemimpin PAS Kawasan Kota Raja Umum Letak Jawatan, Masuk GHB


Dalam satu sidang media yang diadakan oleh PAS Kawasan Kota Raja sebentar tadi, seluruh kepimpinan kawasan tersebut mengumumkan perletakkan jawatan mereka.

Malah bukan setakar itu saja, dilaporkan bahawa seramai 9 Ketua Cawangan Dewan Himpunan Penyokong Pas kawasan tersebut turut bertindak melepaskan posisi mereka.

Keputusan tersebut dibuat bagi menyahut seruan pemimpin tertinggi parti agar ahli yang ingin bergerak ke wadah baru, iaitu menerusi Gerakan Harapan Baru atau bakal dinamakan Parti Amanah Rakyat, untuk melepaskan jawatan mereka.

Ia juga diambil bagi memudahkan ahli jawatankuasa yang masih bersama PAS untuk menjalankan tugas melantik peneraju baru serta melakukan aktiviti yang telah dirancang di kawasan tersebut.

“Dengan ini, kami bertambah yakin dan bebas untuk bergerak dan menjalankan aktiviti kebajikan tanpa salah anggap mana-mana pihak bahawa kami mengambil kesempatan untuk menyampaikan wadah harapan baru kepada masyarakat melalui platform PAS," kata kenyataan itu yang dipetik dari sumber. -Kedahnews.com