Pemuda, Puteri Perlu Kalahkan Fitnah,Tohmahan Pembangkang Di Media Sosial

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Hamzah Zainudin
IPOH - Pemuda dan Puteri Umno perlu sentiasa aktif menggunakan media sosial untuk menangkis segala fitnah dan tohmahan yang sering disebarkan pembangkang terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Hamzah Zainudin berkata, tujuan dan matlamat pembangkang semata-mata mahu menjatuhkan kerajaan BN yang selama ini berusaha keras membangunkan negara.

"Saya lihat bila ada beberapa isu dalam kerajaan BN, tidak sampai 24 jam sudah keluar bermacam-macam (spekulasi) dalam media sosial.

“Bagaimanapun apabila masalah yang dibangkitkan seperti di Selangor iaitu isu penubuhan Darul Ehsan Investment Group, tidak banyak pun yang dibangkitkan dalam media sosial,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Tambun di sini kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mendakwa pembangkang sering memutar belit fakta kerana mahu merosakkan pemikiran rakyat yang menyokong kerajaan BN.

Sehubungan itu, Hamzah berkata anggota kedua-dua sayap itu perlu 'melawan' fitnah dan tohmahan pembangkang secara betul dan berhemah. - Bernama