Pemuda Sebar Gambar Viral "Aunty Jual Maruku" Tampil Minta Maaf

Penuntut berkenaan (tengah) tampil membuat permohonan maaf kerana kesilapannya menjadi punca kepada pelbagai spekulasi di Internet
Gara-gara tidak berfikir panjang dan disulami emosi, seorang pemuda tampil memohon maaf atas ketelanjurannya menyebarkan gambar seorang penjaja maruku berbangsa India yang terduduk berhampiran troli jualannya yang berselerakkan, kononnya dizalimi penguatkuasa.

Dalam satu sidang media yang dibuat semalam, individu berusia 22 tahun itu hadir secara sukarela untuk menerangkan tentang tindakan yang dilakukannya.

“Saya mohon maaf… sebenarnya tiada niat pun untuk saya memburukkan mana-mana pihak kerana status Facebook itu dibuat sewaktu saya emosi.

"Saya tahu tindakan itu adalah tindakan bodoh kerana saya tidak fikir panjang akan kesannya," katanya sebagaimana yang dipetik dari Bernama.

Maruku bertaburan di atas jalan dipercayai telah dilakukan sendiri oleh Aunty tersebut mungkin kerana tertekan, bukan kerara diselerakkan oleh Pegawai Penguatkuasa MBI.
Menurut pemuda yang juga merupakan seorang penuntut sebuah pusat pengajian tinggi, tujuannya berkongsi imej-imej peniaga tersebut adalah kerana rasa simpati terhadap wanita berkenaan.

“Sebenarnya pihak MBI tidak bersalah dalam hal ini, mereka hanya menjalankan tugas,” ujarnya lagi.

Sebelum itu, isu seorang penjaja wanita berbangsa India menjadi viral apabila beberapa keping gambar yang menunjukkan dia sedang terduduk sambil hasil perniagaannya seperti maruku, bertaburan di atas jalan raya, dikongsi ramai di Internet.

Ekoran itu, ramai pengguna internet yang cepat melatah dan membuat andaian sendiri mengecam pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bertindak sedemikian rupa hanya kerana wanita terbabit tidak memiliki permit untuk berniaga di situ. -Kedahnews.com