Rumput palsu yang dicuri dari rumah pesara, Mair Ingman di Wales, kelmarin. |
WREXHAM, WALES - Seorang pesara tidak mampu berkata-kata selepas menyedari rumput palsu yang menghiasai laman rumahnya telah dibawa lari, malam kelmarin.
Menurut Wales Online, Mair Ingman kerugian sebanyak USD3,296 (RM13,776.62) selepas rumput palsu berukuran 90 kaki persegi miliknya dicuri.
"Saya buka tingkap (pada waktu pagi) dan nampak banyak pasir dibuang di hadapan rumah saya," katanya kepada wartawan.
"Saya fikirkan, orang buang pasir di halaman rumah saya, kerana tak mungkin orang akan curi rumput palsu.
"Kemudian baru saya sedar (rumput palsu) betul-betul dicuri," katanya kecewa.
Menurut Ingman, perhiasan rumput palsu berkenaan merupakan sebuah hadiah yang diterimanya November tahun lalu.
"Walaupun saya terkejut ianya hilang, saya juga takut jika mereka (pencuri) kembali," jelas Ingman.
Polis kemudian datang ke rumah Ingman dan mengambil foto kesan tapak kaki yang terdapat pada pasir tersebut.
Siasatan masih dijalankan. - Agensi/Sinar Harian