Penduduk menunjukkan hasil tangkapan lalat masing-masing yang ditangkap dengan menggunakan kertas perangkap lalat. |
PENDANG - Terpaksa berehat di dalam kelambu biarpun di siang hari. Nampak pelik, namun itulah realiti yang terpaksa dihadapi penduduk di beberapa kampung di Mukim Tobiar di sini, ekoran masalah lalat dan pencemaran bau yang berlaku di kawasan mereka.
Masalah itu didakwa berpunca daripada aktiviti ternakan ayam di sebuah kampung dekat sini.
Penduduk, Awang Abdullah Shafie, 70, berkata, masalah itu timbul sejak bulan lalu selepas setahun ladang ayam itu dibina.
Menurutnya, sebelum ini memang terdapat masalah gangguan lalat dan bau tetapi tidaklah begitu serius seperti sejak di akhir-akhir ini.
Awang Abdullah berkata, sejak masalah itu timbul, kehidupan harian keluarganya juga terganggu dan tidak boleh berehat seperti sebelum ini.
"Malah isteri saya juga terpaksa menyapu lantai rumah setiap 10 minit kerana banyak lalat bertaburan.
"Rumah saya juga dipenuhi dengan kertas perangkap lalat, namun ia juga tidak dapat menghalau lalat daripada masuk ke dalam rumah," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, bukan sahaja di siang hari, waktu malam juga rumah mereka dipenuhi lalat.
"Akibat masalah itu, saya terpaksa tidur dan berehat di dalam kelambu walaupun pada di siang hari.
"Masalah ini benar-benar menyebabkan kami sekeluarga merasa tidak selesa,” katanya.
Tambahnya, baru-baru ini keluarganya mengadakan majlis kenduri dan disebabkan masalah itu, hidangan dipenuhi lalat.
"Saya merasa sangat malu kerana tetamu yang datang ke majlis turut merungut dengan bau yang busuk dan masalah lalat,” katanya.
Gerai makan terpaksa ditutup
Othman Husin, 62, pula berkata, sebelum ini, pihak penternak berjanji akan membina reban ayam berhawa dingin dan tertutup, namun sebaliknya berlaku apabila pihak penternak tidak menunaikan janjinya.
Menurutnya, akibat masalah ini, ada juga gerai makanan terpaksa ditutup.
Dalam pada itu, katanya, kini penduduk sudah tidak mahu lagi menggunakan kertas perangkap lalat kerana dikatakan memberi kesan kulit kepada kanak-kanak.
"Ada dalam kalangan penduduk di sini turut tidak membenarkan anak cucunya pulang ke kampung buat sementara waktu kerana risau mereka akan berhadapan masalah itu," katanya.
Timbul pandangan serong
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Durian, Zahir Shafie berkata, pencemaran itu menimbulkan pandangan serong kepada penduduk di kawasan berkenaan yang seolah-olah tidak mementingkan kebersihan.
Katanya, penduduk di situ kecewa kerana sebelum ini suasana di kampung itu sangatlah baik tetapi sejak kewujudan ladang ayam berkenaan kehidupan mereka sedikit terganggu.
“Pernah saya pergi untuk berbincang dengan pihak berkenaan tetapi alasan yang diberi ialah sekarang musim buah-buahan dan sudah menjadi kebiasaan lalat banyak.
"Selain itu, penduduk di sini juga merasa malu jika setiap kali mengadakan majlis kenduri kerana tetamu akan kurang berselera untuk menjamah makanan kerana lalat begitu banyak,” katanya.
Sementara itu, Exco Alam Sekitar dan Kesihatan Kedah, Datuk Leong Yong Kong berkata, pihaknya memandang serius masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau akan mengarahkan agensi di bawahnya untuk turun bagi menyiasat keluhan penduduk di situ supaya masalah itu dapat diselesaikan dengan cara terbaik.
Sumber: Kedahnews.com