Shabudin menunjukkan antara taman permainan di kawasan itu. |
KUALA KEDAH - Penduduk di Taman Sri Kota, Jalan Kuala Kedah, di sini, kecewa kerana taman permainan di kawasan perumahan itu sudah tidak lagi mampu berfungsi dengan baik sehingga dikhuatiri mampu mengundang risiko kepada penduduk.
Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa alat permainan rosak sekali gus membahayakan penduduk terutamanya kanak-kanak yang bermain di kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Sri Kota, Shabudin Md Zain berkata, dia bimbang risiko tidak diingini berlaku kepada kanak-kanak yang bermain di situ.
"Kebanyakan penduduk terutamanya remaja dan kanak-kanak terpaksa bermain dalam keadaan tidak selesa.
"Ada pula alat permainan yang rosak sehingga tidak boleh digunakan sedangkan di sini ada tiga taman permainan," katanya.
Menurutnya, meskipun ada beberapa alat permainan boleh digunakan, namun keadaan kawasan sangat tidak mengizinkan.
"Lebih mengecewakan apabila ada bahagian tertentu di kawasan taman permainan bertakung dan berlecak," katanya.
Shabudin berkata, lebih 500 anak muda dari lima fasa taman perumahan terpaksa mengambil risiko menggunakan kawasan itu meskipun sedar keadaan taman permainan kurang baik.
"Kebanyakan penduduk bimbang anak mereka dalam keadaan bahaya dan cedera sewaktu berada di taman permainan itu disebabkan alat permainannya rosak," katanya.
Oleh itu katanya, mereka merayu pihak bertanggungjawab dapat memberikan perhatian berhubung permasalahan itu bagi membolehkan anak penduduk bermain dalam keadaan selamat.
"Tindakan segera dilihat mampu menangani sebarang masalah serius dan mengelak insiden yang tidak diingini," katanya.
Sumber: Sinar Harian