Pengguna Jalan Gunung Keriang-Sungai Korok Bimbang Diancam Lopak, Lubang

Ismail menunjukkan antara bahagian jalan yang rosak.
ALOR SETAR - Penduduk beberapa penempatan merayu pihak berkenaan menurap semula laluan sepanjang dua kilometer di Jalan Gunung Keriang-Sungai Korok, di sini.

Wakil penduduk, Ismail Hussain, 65, berkata, laluan berkenaan dipercayai digunakan lebih 1,000 pengguna setiap hari untuk ke Alor Setar.

"Laluan ini bukan sahaja menjimatkan masa mereka, malah memudahkan penduduk kampung berulang-alik ke sekolah mahupun tempat kerja.

"Kita mahu tindakan segera diambil bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Difahamkan, Kampung Matang Kong dan Telok Jawa antara penempatan yang berhampiran dengan laluan ini.

Dalam pada itu, menurutnya, penduduk bimbang laluan berlopak yang sudah dibaiki sebelum ini rosak semula disebabkan keadaan cuaca ketika ini tidak menentu.

"Hujan sudah tak menentu, bilangan kenderaan yang guna laluan itu juga agak banyak.

"Jadi, risiko untuk jalan ini rosak sangat tinggi. Malah, beberapa lubang yang dibaiki sebelum ini sudah rosak balik dan itu memang menyusahkan pengguna," katanya.

Malah katanya, terdapat kes di mana sebuah kenderaan terbabas ke tali air berhampiran disebabkan lubang itu.

"Kenderaan itu terbabas sebab nak elakkan pelanggaran dengan sebuah lagi kenderaan lain yang masuk ke laluan bertentangan semata-mata nak elak lubang.

"Pemandunya cedera... kita tak nak insiden seperti ini berulang lagi dan berharap pihak terbabit lebih prihatin dengan kesulitan yang dihadapi pengguna," katanya.

Sumber: Sinar Harian