Peniaga Dari Sg Petani Berdepan Hukuman Gantung Sampai Mati

Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret 2 Sungai Petani, kelmarin
SUNGAI PETANI – Seorang peniaga haiwan peliharaan berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah mengedar dadah berbahaya 9 Ogos lalu, dekat sini, lebih kurang jam 8.40 malam.

Anuar Ayat, 41, dari Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani dituduh di Mahkamah Majistret 2 Sungai Petani semalam kerana mengedar dadah jenis kanabis seberat 34,425 gram.

Disebabkan itu, tertuduh melakukan satu kesalahan bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2004) dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Anuar yang tenang hadir ke mahkamah berpakaian kemeja turut berhadapan pertuduhan kedua.

Mengikut pertuduhan kedua, dia pada tarikh dan jam yang sama didapati mengedar dadah berbahaya jenis nimetazepam seberat 53.18 gram.

Disebabkan itu, dia melakukan kesalahan bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2004) dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Fauziah Daud di hadapan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin.

Mahkamah menetapkan 13 Oktober 2015 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Sinar Harian