Peniaga Gerai Ingkar Notis Bakal Berdepan Tindakan Proaktif MPSPK

Anggota penguatkuasa mengambil tindakan ke atas sebuah gerai yang enggan mematuhi arahan notis amaran membersihkan kawasan perniagaan.
SUNGAI PETANI – Peniaga gerai menjual buah di bahu jalan di bandar ini yang didapati masih ingkar dengan notis amaran dikeluarkan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) pada April dan Julai lalu berdepan tindakan.

Ketua Jabatan Penguatkuasaan MPSPK, Anil Aris berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai gerai jual buah yang dibina dengan rak kayu dan khemah tepi jalan itu menimbulkan kacau ganggu kepada pengguna.

"Peniaga membiarkan rak kayu dan khemah terbabit di bahu jalan biarpun selepas selesai operasi perniagaan dan keadaan itu didakwa menimbulkan kacau ganggu.

"Berdasarkan aduan, anggota penguatkuasa kita menjalankan pemantauan ke lokasi aduan kira-kira jam 9 pagi dan mendapati masih ada khemah dan rak buah yang ditinggalkan peniaga," katanya.

Menurutnya, arahan membersihkan kawasan dan alatan perniagaan sudah dikeluarkan.

"Bagaimanapun, masih ada peniaga yang gagal mematuhi arahan itu dan menyebabkan kita mengambil tindakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Semua peralatan perniagaan ini dibawa ke MPSPK," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peniaga di daerah ini dinasihatkan mematuhi arahan membersihkan kawasan perniagaan sebaik selesai operasi bagi mengelakkan tindakan sama diambil.

"Kita akan teruskan pemantauan dan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan," katanya.