Gambar Hiasan |
Malang, Indonesia - Satu pergaduhan tercetus di sebuah penjara di sini kelmarin dipercayai berpunca daripada tindakan seorang tahanan membawa isterinya masuk ke bilik mandi.
Seorang pegawai penjara, Soekarto berkata, kejadian berlaku ketika sembilan banduan yang dipenjara kerana terbabit dalam aktiviti keganasan menerima kunjungan ahli keluarga mereka.
Katanya, seorang banduan yang dikenali sebagai William Maksum membawa isterinya masuk ke kamar mandi ketika waktu melawat hampir tamat.
“Seorang petugas yang menyedari perkara itu mengetuk pintu bilik mandi dan meminta semua banduan kembali ke bilik penjara masing-masing.
“Bagaimanapun, tindakan itu menimbulkan kemarahan Maksum sebelum lelaki itu dan lapan rakannya memukul petugas berkenaan,” katanya.
Ujarnya, beberapa petugas penjara kemudiannya meleraikan pergaduhan itu dan mengiringi semua banduan kembali ke bilik.
KERETA perisai keluar dari penjara Malang dengan membawa banduan yang dipindahkan. |
“Ketika diiringi beberapa banduan lain yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu bertindak membaling Maksum dan rakannya dengan pelbagai objek.
“Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila Maksum dan rakannya membalas dengan membaling objek kepada banduan lain,” jelasnya.
Tambahnya, akibat kekecohan itu, pihak penjara mengambil keputusan untuk segera memindahkan sembilan banduan berkenaan.
Menurutnya, semua banduan itu dipindahkan ke lima pusat tahanan yang terdapat di Jawa Timur semalam. -Agensi