Membayar RM380 (USD$100) hanya semata-mata untuk sebiji donut memang kedengaran tidak masuk akal bagi kita semua.
Namun, jangan tidak tahu ada sejenis donut yang memang berharga semahal itu dan berjaya mendapat perhatian ramai memandangkan keunikannya yang tersendiri.
Menurut pemilik Dolicious Donuts, Jeanne Kaminski, donut yang diberi nama Donutopia itu mengambil masa selama tiga hingga lima jam bagi menghasilkan hanya setiap satunya.
Donutopia merupakan donut yang disalut dengan kepingan emas 24 karat dan berlian gula yang boleh dimakan selain didatangkan dengan set air mineral berkualiti tinggi.
Kedai yang terletak di West Kelowna, Kanada mendapat inspirasi untuk membuat donut semahal itu selepas seorang pelanggan mereka meminta donut istimewa untuk melamar teman wanitanya.
Susulan kejayaan menghasilkan donut istimewa itu, mereka mengambil keputusan untuk terus memasukkannya dalam menu kedai tersebut.
Hasilnya, ramai yang menyukai Donutopia dan sanggup membayar lebih asalkan dapat makan donut yang memang lain daripada donut biasa yang ada dalam pasaran sebelum ini.