Sherry Ibrahim |
Meskipun berpeluang melakonkan pelbagai watak sepanjang membina karier lakonan, pelakon jelita Sherry Ibrahim tetap cemerlang pada mata penonton dengan karakter antagonis.
Teraju utama drama Teduhan Kasih ini mengakui keberkesanan watak antagonis dilakonkan nyata memberi impak tak diduga apabila tidak semena-mena dia pernah dimaki peminat di laman sosialnya.
Hakikatnya kata Sherry, atau Syarizad Ibrahim, 32, dia hanya pelakon dan menjadi tanggungjawabnya merealisasikan watak diberi sebaik mungkin biarpun ia karakter hitam dan jahat.
“Saya sekadar melakonkan watak tetapi tak sangka ia berjaya membuatkan peminat benci hingga sanggup memaki saya. Bahkan, pos di laman sosial saya turut dikomen dengan pelbagai reaksi.
“Paling saya terasa dan ingat sampai sekarang ketika membintangi drama Cinta Ibadah. Watak saya sebagai Doktor Irma pada mulanya baik bagaimanapun pada pertengahan cerita, karakter itu diubah menjadi antagonis apabila Doktor Irma juga menyimpan perasaan cinta terhadap Hafiz.
“Gara-gara watak jahat itu menjadi, saya dimaki peminat,” katanya.
Kata Sherry, dia bersikap terbuka terhadap segala kritikan peminat tetapi apabila dimaki dengan komen yang begitu kasar di laman sosialnya, siapa yang tidak sakit hati. Ujarnya, dia juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan.
“Meskipun watak antagonis dilakonkan menjadi kerana berjaya membuat peminat benci, tidak wajar sewenang-wenangnya mereka (peminat) boleh memaki saya sesuka hati.
“Tak dinafikan, saya pernah sakit hati apabila ada peminat drama Cinta Ibadah menulis komen pada foto saya dalam laman sosial berbunyi ‘macam b**i’ yang dianggap agak keterlaluan,” katanya.
Menurut Sherry, tidak salah untuk peminat drama itu benci pada lakonannya tetapi jangan sampai sanggup memberi komen sebegitu kepadanya. Katanya, ia komen paling teruk pernah diterima.
Walaupun tidak cepat melatah, akibat terasa hati dengan komen diberikan membuatkan dia membalas juga tetapi secara psikologi dengan menulis kata-kata berbaur nasihat supaya peminat tidak menghakimi pelakon berdasarkan watak antagonis dilakonkan itu.
“Saya tahu apabila penonton benci pada lakonan dipersembahkan, bermakna karakter antagonis dilakonkan itu berkesan dan menjadi. Namun, janganlah memberi komen yang boleh menghiris hati.
“Sebagai insan biasa, diakui komen sebegitu membuatkan saya tertekan juga pada mulanya, namun saya lihat semuanya pada sudut positif dengan menganggap ia sebahagian rencah kehidupan menjadi anak seni,” katanya.
Sherry yang pernah meninggalkan dunia seni seketika kerana membina karier di awan biru sebagai pramugari di syarikat penerbangan asing berkata, sekarang dia sudah tidak kesah dengan apa saja cemuhan dan makian peminat.
Ujarnya, ini kerana dia hanya seorang pelakon dan menjadi tanggungjawabnya merealisasikan watak sebaik mungkin. Apatah lagi, lakonan kini menjadi karier utamanya dalam mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.
Sherry yang suka melancong, gembira apabila turut menjadi seorang selebriti terpilih menjayakan program realiti terbaru Astro, Awak Kat Mana? Program seperti itu dapat memberi peluang kepadanya mengembara di negara asing.
Lebih menarik dan mencabar apabila dalam program itu dia berganding dengan pendatang baru, Harris Baba dan perlu menamatkan misi menjelajah mereka di bumi Romania yang kali pertama mereka kunjungi.
“Walaupun pernah bertugas sebagai pramugari suatu ketika dulu, sepanjang dalam karier itu saya tidak pernah menjejakkan kaki ke Romania. Jadi, sukar untuk saya mengenal pasti persekitaran, budaya dan masyarakatnya.
“Cuma, apa yang pasti saya ada memberitahu Harris, apa pun yang terjadi meskipun sukar saya hanya inginkan kemenangan. Saya tidak suka pada kekalahan dan menjadi cabaran buat kami untuk memastikan kemenangan dalam genggaman.
“Memandangkan Haris juga memiliki personaliti menarik, dia menjadi sumber strategi saya untuk berinteraksi dengan masyarakat tempatan khususnya wanita dan gadis bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Mengulas sama ada mereka memenangi cabaran diberikan, Sherry berkata itu biarlah rahsia dan untuk mengetahuinya penonton perlu menyaksikan program Awak Kat Mana? Ujarnya, ia program yang sangat mencabar mental dan fizikal.
Berbicara destinasi impiannya dalam program itu, Sherry berkata dia sebenarnya teruja untuk menjejakkan kaki semula di Rom, Itali atau London kerana sudah terbiasa dengan persekitaran bandar raya yang dikenali ramai itu. Namun, apa yang dihajati tidak menjadi kenyataan.
Sumber: myMetro