Persatuan Sejarah Cadang Promosi Bangunan Zaman Kolonial Di Kedah

Pejabat Pos Besar merupakan antara bangunan kolonial yang masih utuh di Kedah
ALOR SETAR - Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) mencadangkan beberapa bangunan peninggalan zaman kolonial di bandar Alor Setar diberi promosi lebih meluas.

Ketua Biro Kaji Selidik PSMCK, Dr Mohd Kasri Saidon berkata, ia dilihat sejajar dengan usaha menarik pelancong sempena Tahun Melawat Kedah 2016.

“Antara bangunan kolonial yang masih terpelihara termasuklah Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHC), Pejabat Pos Besar dan Balai Polis Alor Setar.

“Sehingga kini, beberapa bangunan kolonial dengan seni bina unik berbanding masa kini masih wujud namun, ia tidak menjadi tarikan dari aspek pelancongan,” katanya.

Apatah lagi katanya, ada bangunan memiliki sejarah tersendiri tidak diketahui meluas oleh masyarakat setempat, namun memiliki nilai menarik pelancong.

“Sebagai contoh, Kolej Sultan Abdul Hamid yang menjadi tempat Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Malaysia Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad belajar,” katanya.

Menurutnya, nilai-nilai sebegini sebenarnya mampu menambah daya tarikan sekali gus menarik minat pelancong untuk datang ke Bandar Alor Setar.

"Bandar Alor Setar memiliki beberapa tempat menarik yang berpotensi menjadi pelancongan warisan seperti Muzium Diraja, Balai Besar dan Balai Nobat.

"Meskipun berusia ratusan tahun , Balai Besar yang diperbuat dari 42 tiang utama dari kayu dengan ukiran berwarna keemasan masih kukuh," katanya.

Bertambah unik katanya, antara masjid tercantik dunia iaitu Masjid Zahir terletak di kawasan berkenaan sekali gus memudahkan orang awam melawati tempat menarik itu.

"Saya harap pelancong tidak tertumpu di Langkawi semata-mata, memandangkan Alor Setar dan Kuala Muda turut memiliki beberapa lokasi menarik," katanya.

Dr Mohd Kasri yang merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia (UUM) ini berkata, maklumat berkaitan sejarah bangunan berkaitan turut dipamerkan pada skrin besar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

"Kami mencadangkan maklumat disampaikan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk orang awam serta pelancong.

"Dengan ini, informasi sejarah dapat disalurkan lebih meluas dan mempromosikan lokasi bersejarah di sekitar Alor Setar," katanya.

Sumber: Sinar Harian