Petani Malaysia Disaran Contohi Semangat Petani Thailand

Gambar Hiasan
KANGAR – Para petani khususnya pesawah di negara ini harus mencontohi semangat yang ditunjukkan oleh petani di Thailand jika mahu meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ahmad Bakri Ali berkata, menerusi lawatan yang dilakukannya ke negara berkenaan baru-baru ini, banyak contoh yang boleh diambil ke arah meningkatkan taraf hidup petani di Malaysia.

“Pendekatan yang dilakukan oleh petani Thailand ialah semangat patriotik yang sanggup berkorban apa sahaja di sawah padi asalkan mereka boleh menyediakan padi dan beras yang cukup untuk negara sendiri.


“Paling membanggakan petani-petani itu bekerja tanpa mendapat sebarang subsidi daripada kerajaan. Baja dibeli sendiri. Upah membajak dan segala pekerjaan di sawah semua menggunakan wang sendiri, dan mereka berjaya,” katanya menjawab soalan Datuk Ismail Kassim (BN-Tambun Tulang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Ahmad Bakri berkata, melalui semangat muafakat dalam kalangan petani negara berkenaan, mereka bukan sahaja melaksanakan tanaman padi secara berkelompok sejak tahun 1996, malah mampu memiliki kilang beras sendiri. – BERNAMA