Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong |
Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau akan mengadakan pilihan raya umum "dalam waktu terdekat" bagi mendapatkan mandat rakyat untuk membawa Singapura ke fasa seterusnya.
Dalam ucapan pada Perhimpunan Hari Kebangsaan malam ini, Lee berkata: "Dalam waktu terdekat, saya akan mengadakan pilihan raya, untuk mendapatkan mandat daripada anda untuk membawa Singapura ke fasa seterusnya".
Beliau berkata Singapura kini berada pada titik peralihan, selepas menamatkan 50 tahun yang berjaya dan akan memulakan fasa bagi 50 tahun akan datang.
"PRU (pilihan raya umum) akan datang adalah amat kritikal," katanya.
"Anda akan menentukan siapa yang mentadbir Singapura untuk lima tahun akan datang; tetapi apa yang lebih penting, anda akan memilih pasukan yang akan bekerja dengan anda untuk 15 hingga 20 tahun akan datang.
"Anda akan menentukan hala tuju Singapura untuk 50 tahun akan datang. Anda akan menentukan masa depan Singapura," katanya.
Lee berkata beliau dan pasukannya sentiasa menjalankan tanggungjawab mereka dengan serius bagi memastikan Singapura terus maju.
Sumber: mStar