Polis Ambil Serius, Bersihkan Nama Ibu Bapa "Sabrina Kekasih Lama"


SEPASANG suami isteri berang dan kesal gara-gara sijil kelahiran bayi perempuan mereka, Sabrina tersebar di laman sosial dan menjadi bahan jenaka ramai setelah diubah menjadi ‘Sabrina Kekasih Lama’, iaitu dialog dalam filem ‘Tiga Abdul‘ lakonan P Ramlee.

Berikutan itu, ibu bapa berkenaan bertindak membuat laporan polis bagi membersihkan nama keluarga mereka sekali gus menghentikan perbuatan nama anak mereka dipermain-mainkan pihak tertentu.

Ketua Balai Polis Malim di Melaka, Inspektor Ahmad Hambali ketika dihubungi portal The Rakyat Post mengesahkan penerimaan laporan tersebut.

“Polis mengambil perkara ini dengan serius.

“Kami telah membuka kertas siasatan berikutan laporan itu dan ia akan dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,” katanya.

Difahamkan, ibu bapa kepada Sabrina telah membuat laporan polis kelmarin (Jumaat).


Berdasarkan laporan polis, ibu Sabrina menyatakan sijil kelahiran anaknya itu hanya dipegang suaminya pada 3 petang pada Khamis dan tiada sesiapa tahu mengenai sijil kelahiran itu.

Dalam pada itu, wanita tersebut turut meluahkan rasa syak wasangka mengenai kemungkinan penglibatan ‘orang dalam’ dari Jabatan Pendaftaran Negara kerana mereka sahaja yang mempunyai akses kepada sijil kelahiran selain ibu bapa. -Kedahnews.com