Polis Berkas 3 Lelaki, Ganja 4.7 Kilogram Dirampas


IPOH – Polis menahan tiga lelaki dan merampas lima ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 4.7 kg bernilai RM46,500 di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas dekat Kuala Kangsar, kira-kira 50 kilometer dari sini semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Supt R Ravi Chandran berkata mereka yang berumur 21 hingga 24 tahun yang menaiki kereta Proton Saga ditahan kira-kira pukul 2 petang, selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil siasatan ke atas mereka, polis menemui lima ketul mampat dadah jenis ganja anggaran berat 4,650 gram di dalam kereta yang mereka naiki,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek mengedar dadah di kawasan Kuala Kangsar dan Sungai Siput dan dadah itu boleh menampung keperluan kira-kira 50,000 penagih.

Ravi berkata dua daripada suspek yang berasal dari Kedah manakala seorang berasal dari Johor itu didapati positif dadah dan direman selama lima hari untuk siasatan lanjut.

“Sekiranya disabitkan kesalahan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Sementara itu, Ravi berkata sepanjang tempoh Januari hingga semalam, polis menahan seramai 1,260 pengedar dadah manakala mereka yang ditahan kerana memiliki dadah adalah seramai 2,590 orang.

“Sebanyak RM3.26 juta dadah dirampas sepanjang tempoh tersebut, manakala nilai sitaan harta sebanyak RM5.83 juta bagi tempoh yang sama,” katanya. – BERNAMA