Polis Kedah Berkas 2 Lelaki, Pistol, Peluru, Sabit Dan Dadah Di Sg Petani


ALOR SETAR - Polis Kedah menahan dua lelaki dan merampas sepucuk pistol jenis Norinco, 17 peluru 9mm serta sebilah sabit dalam satu operasi di Sungai Petani kelmarin.

Turut dirampas 104 gram syabu bernilai RM30,000, 116 gram heroin serta tiga pil kuda yang ditemui di dalam beg sandang salah seorang suspek. 

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata kedua-dua lelaki tempatan berusia 40 dan 20 tahun itu ditahan ketika berada di dalam kereta jenis Honda Civic di tempat letak kereta Taman Petani Jaya.

Susulan penahanan kedua-dua suspek itu, polis juga menemui sepucuk pistol angin jenis Pietro Beretta Garoone dan sejumlah peluru bebola besi di rumah salah seorang suspek di Taman Ria Jaya, di Sungai Petani.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu mendapati nombor casis dan nombor enjinnya telah dicanai," katanya kepada pemberita dalam sidang media di IPK Kedah, hari ini.

Menurut Zamri, operasi itu dilakukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda bersama Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman.

Katanya, lelaki berusia 40 tahun itu dikesan mempunyai 20 rekod jenayah bersabit kekerasan dan pemilikan senjata api, manakala suspek kedua mempunyai lima rekod bersabit dadah dan penipuan.

Kedua-duanya juga didapati positif dadah jenis Methaphetamine, katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.  - Bernama