Polis Kedah Sahkan Terima Laporan Cubaan Culik Budak Di Sungai Pasir


SUNGAI PETANI – Polis mengesahkan ada menerima laporan daripada ibu mangsa mengenai cubaan kes culik anaknya di Sungai Pasir yang menjadi viral dalam aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kini pihaknya sedang menyiasat dari pelbagai sudut termasuk kesahihan laporan pengadu.

Menurutnya, pihaknya juga sedang mengesan individu yang didakwa terbabit termasuk tiga suspek yang menggunakan sebuah van, berdasarkan laporan dibuat.
“Kita mengesahkan terima laporan dan kini sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

“Dalam masa sama, saya juga mengarahkan siasatan daripada pelbagai sudut dilakukan termasuk kesahihan laporan diterima,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebuah akhbar semalam melaporkan cubaan kes culik membabitkan seorang kanak-kanak tahun lima yang dikatakan sedang mengutip batu mendakwa didatangi seorang lelaki berusia 20-an menarik lengannya dalam kejadian berdekatan Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir, Sungai Petani.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu dikatakan melibatkan pergelutan kecil apabila kanak-kanak itu didakwa cuba menendang lelaki terbabit dan disaksikan seorang lelaki 30-an yang datang untuk membantu.

Bagaimanapun, tindakan lelaki yang ingin membantu didakwa dihalang dua lelaki lain menaiki van dan bersenjatakan parang.

Kanak-kanak terbabit dikatakan mengambil kesempatan semasa pergelutan cuba meloloskan diri dengan berlari mendapatkan ibunya di rumah yang jaraknya kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Namun, apabila ibunya keluar ingin melihat apa yang didakwa kanak-kanak itu, tiga lelaki dan van terbabit tiada.

Sumber: Sinar Harian