Presiden Sebelum Ini Pun Ada Akaun Amanah Parti Atas Nama Peribadi


KUBANG PASU – Peruntukan dalam perlembagaan UMNO membenarkan presiden parti mempunyai akaun amanah bagi pihak parti, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata bukan sahaja Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai akaun amanah bagi pihak UMNO tetapi juga presiden-presiden UMNO sebelum ini.

“Saya hendak memberitahu bahawa parti UMNO mempunyai peruntukan dalam perlembagaan yang membenarkan presiden parti untuk mempunyai akaun amanah bagi pihak parti.

“Adalah tidak mustahil dan tidak memeranjatkan jika Presiden UMNO (ketika ini) dan presiden-presiden (UMNO terdahulu) mempunyai akaun amanah bagi pihak parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Kubang Pasu pada Sabtu.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan, berkata duit yang berada di dalam akaun amanah di bawah nama Najib sebagai Presiden UMNO itu bukan wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau duit rakyat.- BERNAMA