MEXICO – Jika anda seorang yang berani, silalah melawat kawasan hutan di Xochimilco, di sini yang begitu menakutkan dan menyeramkan. Hutan di sini dipenuhi dengan anak patung yang digantung di atas dahan-dahan pokok.
Anak patung itu pada mulanya digantung di situ oleh seorang lelaki, Julian Santana Barrera yang percaya dengan berbuat demikian ia dapat menghalau hantu seorang budak perempuan yang mati lemas di tasik di situ, kira-kira 50 tahun lalu.
Barrera merupakan individu yang menemui mayat budak itu terapung di tasik berkenaan dan sejak itu dia menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyelamatkannya.
Dia kemudiannya menemui anak patung terapung di tempat sama di mayat budak itu ditemui dan kemudian menggantungnya di pokok sebagai tanda penghormatan.
Sejak itu Julian mendakwa dia mendengar suara menyeramkan dari dalam hutan termasuk bunyi tapak kasut, wanita menjerit dan suara bisikan.
Disebabkan ketakutan, dia mengerat anak patung dan kemudiannya menggantung di atas pokok bagi mempertahankan dirinya daripada hantu. Dia mengambil masa selama 50 tahun untuk menghias hutan di situ dengan anak patung.
Barrera juga hidup sendirian dan mengasingkan diri daripada orang ramai sehinggalah pada 2001 apabila mayatnya ditemui oleh anak saudaranya lemas di kawasan sama di mana dia menemui anak patung yang terapung itu.
Selepas kematiannya, kawasan itu menjadi tumpuan pelancong yang turut membawa anak patung ke dalam hutan. Bagaimanapun pelancong yang berkunjung ke situ juga mendakwa mendengar seolah-olah anak patung berkenaan berbisik di telinga mereka. -Kedahnews.com